Pages

Thursday 4 October 2012

SUARA BENAR - Akhbar Pertama di Melaka

Wednesday, January 28, 2009 | | | |
AKHBAR SUARA BENAR (Surat Khabar Pertama di Melaka)
Permulaan Nasionalisma Melayu Melaka
Selepas Perang Naning (1830 – 1832) dan Perang Rokam 1887 di Serkam Melaka tidak ada kedengaran lagi peristiwa orang-orang Melaka menentang penjajah secara terbuka. Satu fenomena baru timbul apabila wujudnya sistem pendidikan formal yang akhirnya melahirkan golongan–golongan elit Melayu Melaka. Sejak dari awal abad ke 20 terdapat elit Melayu yang berpendidikan Melayu, Inggeris dan Arab. Mereka inilah yang bangkit untuk membena kesedaran bangsa mereka.
Kesedaran awal dapat dilihat dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an . Pada waktu itu tidak ada sebarang pertubuhan politik yang yang ditubukan di Melaka. Pertubuhan yang ada dan direkodkan dalam Pendaftaran ialah di antaranya,

Pelatih Adab – 1909 di Limbungan
Jami Al-Bariwah Bihar Club – 1909 di Tengkerah
Narul Mathom Club – 1911 di Umbai
Mohamedian Club – 1913 di Tanjung Keling
Persenangan Association – 1920 di Lereh
Setia Jaya Club – 1922 di Pulau Sebang
Seri Penghibur Club – 1923 di Serkam
Sentosa Persenangan Club – 1923 di Pengkalan Rama
Pelatih Setia Club – 1927 di Masjid Tanah
Perkumpulan Khairat Kematian - 1938 di Serkam
Malacca Motor Muslim Association – 1939 di Wolferston Road

Ini adalah merupakan pertubuhan yang menumpukan hal-hal sosial termasuk riadah, rekreasi dan kebudayaan. Pertubuhan-pertubuhan ini adalah pertubuhan sosial yang diluluskan oleh pihak British.
Oleh kerana tidak ada tempat untuk meluahkan perasaan bagi membela bangsa mereka , golongan-golongan elit ini telah menggunakan ruang-ruang akhbar tempatan. Akhbar yang wujud pada awal tahun 1930an itu ialah ”SUARA BENAR’ Akhbar tersebut diterbitkan pada 2 September 1932 (Jumaat). Dalam akhbar Suara Benar inilah dimuatkan berita, artikel, karangan, hal-hal yang berkaitan dengan seni, kebudayaan dan agama. Banyak juga yang membicarakan tentang nasib bangsa Melayu. Melaka. Suara Benar menjadi tempat elit-elit Melayu melahirkan perasaan dan menanamkan semangat kebangsaan dan kesedaran orang-orang Melayu Melaka.
Akhbar
SUARA BENAR
Akhbar pertama di Melaka
2.9.1932 - 28.2.1933
(Jumaat) ( Selasa
Motif utama, selain dari menyampaikan berita terkini, juga memberi kesedaran kepada orang-orang Melayu tentang nasib dan masa hadapan mereka. Berbagai-bagai polimik terdapat dalam suara benar. Soal-soal Melayu dan Malayan, soal rakyat dan kerayatan , soal hak dan kewajipan, soal perjawatan dan soal ekonomi menjadi topik yang didebat antara Suara Benar dengan Malacca Guardian. Sambutan orang ramai terhadap Suara Benar amat mengalakkan. Ini dapat dilihat respon mereka melalui surat dari pembaca. Malangnya usia Suara Benar tidak lama. Atas sebab-sebab yang kurang jelas akhbar ini menamatkan perkhidmatannya pada 28 Februari 1933 (Selasa) setelah menerbitkan 51 keluaran.
Contoh artikel dalam Suara Benar yang merakamkan kedudukan orang-orang Melayu yang sentiasa tercicir dan dicicirkan oleh pihak Beritish. Suara Benar bertarikh 23 Oktober 1932 mendedahkan kedudukan orang-orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1932.
Pekerjaan India Cina Melayu
Pengurus Umum 27 34 8
Ketua Pegawai 4 114 426 668
Jabatan Jurutera 4 814 109 287
Keretapi 1 545 493 154
Jabatan Simpanan 104 19 15
Jabatan Kesihatan 99 1 5
Telefon 407 27 89
Jabatan Binaan 499 493 40
Jumlah 12 113 1 613 1 472



Statistik di atas jelas menunjukkan bilangan orang-orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan jauh ketinggalan berbanding dengan kaum India. Jika ini tidak dikawal sejak tahun 1930an lagi sudah pasti orang-orang Melayu akan merempat di tanah airnya sendiri.
Mereka yang banyak menyumbangkan artikel-artikel, rencana, dan berita terdiri dari elit-elit Melayu yang berpendidikan Melayu, Inggeris dan Arab. Antara mereka terdiri dari pengarangnya sendiri iaitu:
Hj Taib Hj Hashim (Didikan Inggeris dan Ahli perniagaan yang berjaya)
Hj Jeti Hj Ahmad (Guru Lepasan Maktab Melayu Melaka 1918-1920)
Sheikh Omar Bin Sheikh Ahmad (Ahli perniagaan)
Hj Omar Bin Hj Othman (Tokoh Agama)
Daud Manas (Guru - Pemberita bagi kawasan di daerah Jasin)
Salleh Mohd Arif (Guru - Pemberita bagi kawasan di daerah Alor Gajah)
Tamby Chik Karim dan Yaakub Manaf (bagi kawasan Masjid Tanah)
Selain dari penulis dan pemberita dari negeri Melaka sendiri banyak sumbangan-sumbangan
artikel dari luar Melaka sebab akhbar ini diedarkan ke seluruh Semenanjung, Singapura Sarawak
dan Brunei.
Hj Latiff Bin Tamby Hj Taib Bin Hj Hashim
Seorang ulamak dan hartawan Melaka
Penerbit dan Pengarang SUARA BENAR




Tuan punya Lattefiah Press Melaka
yang menerbit SUARA BENAR
Akhbar Suara Benar:
Akhbar ini dicetak dan diterbitkan oleh Lattefiah Press Melaka. Ia dikeluarkan dua kali seminggu setiap hari Jumaat dan Selasa. Harganya 10 sen senaskhah. Akhbar bertulisan jawi ini diketuai oleh Haji Mohd Taib Bin Hj Hashim. Beliaulah penerbit dan juga pengarangnya. Percetakan ini dimiliki oleh seorang saudaga Melayu Melaka Tuan Haji Abd Latif Tamby. Beliau adalah seorang ulama pedagang yang lahir di Tengkerah Melaka pada tahun 1850 dan meninggal dunia pada 1938.
Suara Benar merupakan permulaan kelahiran semangat nasionalisma orang-orang Melayu Melaka. Melalui akhbar inilah mereka dapat melahirkan perasaan mereka sambil memperjuangkan hak orang-orang Melayu Melaka. Melihatkan kejayaan orang-orang Melayu Singapura, orang-orang Melayu Melaka juga, yang sama-sama berada di Negeri Selat berharap nasib orang Melayu dapat diubah melalui tulisan-tulisan dalam akhbar Suara Benar ini. Malangnya hayat Suara Benar tidak panjang, namun bagitu sedikit sebanyak telah dapat memberikan kesan yang positif kepada orang-orang Melayu Melaka.

No comments:

Post a Comment